Pastinya kehangatan ramadhan menyebabkan umat Islam dengan penuh keazaman dan penuh pengharapan menggunakan bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Keazaman untuk melakukan yang terbaik bagi ramadhan tahun ini dan pengharapan agar segala amalan yang dilaksanakan di bulan mulia ini diterima oleh Allah swt. Justeru itu ramai di kalangan umat Islam menggandakan amalan pahala mereka di bulan ini dengan janji pahala akan dilipat gandakan.Ramai juga yang melakukan ibadah sunat sebagai persediaan-persediaan rohani untuk menyambut kedatangan ramadhan. Semuanya ini adalah berdasarkan keyakinan bahawa Allah swt akan sentiasa melihat dan menghitung segala amalan yang dilakukan oleh seorang hamba yang penuh pengharapan kepadaNya.






Nun di sana, saudara seakidah dengan kita sebagai seorang Islam atau atas dasar sifat kemanusiaan bagi bukan Islam, rakyat Palestin berada di dalam penindasan yang berterusan sehingga 60 tahun lamanya. Seolah-olah negara-negara Islam tidak melihat apa yang sedang berlaku di sana termasuklah negara jiran terdekatnya iaitu Mesir. Negara yang dahulunya adalah milik umat Islam tetapi dengan rakus, pihak zionis menguasainya melalui peperangan, pembunuhan dan perampasan tanah yang berterusan. Kedatangan ramadhan disambut oleh mereka sebagaimana persediaan yang dilakukan oleh umat Islam lain dengan penuh kesyukuran dan pengharapan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt agar kemenangan akhirnya akan menjadi milik umat Islam. Allah boleh sahaja memberikan kemenangan sebagaimana burung ababil melontarkan batu-batu kecil kepada tentera bergajah Abrahah dan begitu juga Allah berkuasa untuk menenggelamkan manusia yang zalim sebagaimana yang dilakukannya kepada pengikut nabi Nuh malah Allah sangat berkuasa untuk menebalikkan bumi yang dhuni oleh manusia zalim sebagaimana yang dilakukan kepada kaum nabi Luth. Semuanya itu menunjukkan kekuasaan Allah dan pada masa yang sama juga Allah boleh sahaja menghantar bala tenteranya membantu rakyat Palestin yang sedang berjuang dengan penuh kegigihan sehingga akhirnya zionis lenyap di atas muka bumi ini. Kenapa ianya tidak berlaku di bumi yang penuh dengan keberkatan ini. Mungkin pertanyaan ini akan berlegar di fikiran ramai di kalangan umat Islam. Tidakkah ini merupakan satu ujian dan dugaan untuk umat Islam berfikir siapakah di kalangan mereka yang benar-benar berada dalam naungan Islam atau yang bersekongkol dengan zionis yang zalim. Tidakkah ini juga sebagai saringan kepada umat Islam untuk mengetahui siapakah di kalangan mereka yang benar-benar bersama dengan para pejuang kebenaran atau bersama-sama dengan mereka yang berada dalam kebathilan.




Umat Islam yang menyedari hakikat kelebihan ramadhan dan tidak mahu dirinya termasuk dalam golongan yang bersekongkol dengan rejim zionis akan berusaha untuk membantu rakyat Palestin. Rakyat Palestin merupakan rakyat yang wajib dibantu tidak kira siapa kedudukan kita dan di mana kita berada. Jika masyarakat Barat berusaha membantu mereka atas dasar peri kemanusiaan, kenapakah kita sebagai umat Islam tidak rasa bertanggungjawab membantu mereka atas dasar satu akidah, ukhwah Islamiyyah dan peri kemanusiaan.. Kemuliaan ramadhan dengan ganjaran pahalanya perlu direbut apatah lagi memberi makan kepada orang yang berpuasa. Tidakkah Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa yang melakukan satu amalan kebaikan padanya, maka baginya ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardhu....” “ Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau sedikit pun”.

SELAMATKAN AL-AQSA, BEBASKAN PALESTIN




0 ulasan: