Assalamu’alaikum wbt.. Pertama dan selamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi dan RasulNya dengan membawa petunjuk agama yang benar. Cukuplah Allah sebagai saksi bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah semata-mata. Sebagai santapan rohani sahabat-sahabat sekalian, ana ingin mengupas sedikit sebanyak berkaitan tajuk “Hukum Berhibur Menurut Islam”. Kenapa dan Mengapa saya memilih tajuk berkenaan? Ini adalah kerana kecelaruan mahasiswa dalam memahami hukum berhibur ini sehinggakan telah menyebabkan banyak perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam dalam masalah berhibur dan nyanyian berlaku di negara kita sekarang ini.


Islam bukanlah agama yang mengongkong sehingga menyusahkan manusia untuk hidup atau mengharamkan semua perkara untuk manusia. Demikian juga berhubung dengan hiburan. Islam tidak menghalang hiburan, tapi meletakkan batas dan mesti mengikut peraturan serta mempunyai garis panduan yang jelas.


Perumpamaannya seperti kereta kita sendiri, harta sendiri yang dibeli dengan wang sendiri tapi apabila digunakan di jalanraya mestilah mengikut peraturan,
Apatah lagi kita yang hanya hamba Allah SWT, yang tidak mempunyai apa-apa di muka bumi ni. Lagilah ada peraturan dalam setiap perkara yang dilakukan.


Setiap perkara mesti ada peraturannya dan Islam tidak pernah mengenal istilah hiburan tanpa batas atau hiburan tanpa had. Semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan.


Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa batasan dan sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.


Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As , yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amr, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."


Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.


Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.


Jawatankuasa Syariah memutuskan sebulat suara untuk meletakkan syarat-syarat berikut untuk mengharuskan nyanyian:

i. Tujuan penganjuran nyanyian untuk kebaikan

ii. Berpakaian sopan serta menutup aurat

iii. Tidak bercampur aduk lelaki perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan

iv. Senikata/ lirik bermutu dan tidak bercanggah dengan hukum syarak

v. Tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang maksiat


Akhir sekali suka untuk ana katakan. Ketika anda sedang seronok berhibur terlompat-lompat, terkinja-kinja, dalam keadaan tidak tentu arah.

Tiba-tiba hadir seorang yang kita cintai dan junjungi iaitu Rasulullah SAW. Apakah yang akan kita lakukan?

Lupakah kita pada saat-saat terakhir kewafatan Rasulullah SAW? Siapakah yang berada di fikiran Rasulullah SAW? Sanggupkah kita melakukan perkara yang dibenci Rasulullah SAW? Sekiranya kita tidak dapat membayangkan yang Allah SWT sedang memerhatikan kita, bayangkanlah kehadiran Rasulullah SAW.

Lupakah kita bahawa malaikat izrail akan melaksanakan tanggungjawabnya pada bila-bila masa saja tanpa lewat sesaat pun?. Sedarkah kita, tanpa lafaz ALLAH dibibir kita malah perkataan yang tidak tentu arah dan dalam keadaan di mana kita melupakanNya, AJAL KITA TIBA?. Sempatkah kita untuk bertaubat? Sama-samalah kita bermuhasabah.

0 ulasan: