Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa batasan dan sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As , yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amr, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya.
Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani dan rohaninya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya. Malah dalam hubungan kemasyarakatan yang lebih luas, insan yang sihat itu ialah yang dapat memelihara diri dan mampu berada dalam keadaan aman dan damai dalam persekitaran masyarakat, ekonomi dan politik, tanpa perbezaan bangsa dan sebagainya.

Kesihatan jasmani dan rohani serta kesejahteraan masyarakat merupakan sesuatu yang bersepadu dan tidak dapat dipisah-pisahkan. Insan yang sihat badan, roh dan jiwanya berserta yang sihat pergaulannya sahaja yang merupakan insan yang seimbang, mantap dan produktif. Usaha manusia untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah dengan menguasai ketenangan jiwa, kesihatan tubuh badan dan menghindari kekusutan fikiran. Inilah yang ingin dicapai menerusi konsep hiburan dalam Islam.

Jasmani yang sihat akan menjamin kecerdasan otak dan minda, ketenangan dan kematangan perasaan; dan dengan itu terhindarlah segala tekanan dan masalah jiwa dan sebagainya. Kesihatan jasmani dan rohani akan melahirkan akal dan jiwa yang kuat dan kukuh, berdaya saing, kreatif dan pantang menyerah dalam menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Dengan itu juga maka masyarakat akan terselamat dari sebarang kegiatan yang memudaratkan, malah ia akan menjadi insan yang lebih berdisiplin, dan imannya menjadi semakin kuat dan mantap.

Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan. Berdasarkan kepada fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya.
Tetapi adakah masyarakat kita memberi laluan yang sewajarnya untuk perkembangan hiburan tanah air dilahirkan menerusi acuan dan pendekatan Islam?Sesungguhnya masalah dan perdebatan inilah yang ingin dicari penyelesainya supaya ianya menjadi satu titik tolak ke arah yang lebih bermakna demi mendapatkan keredhaan Allah s..w.t. dalam konteks memenuhi naluri keinginan manusia menerusi hiburan yang terpimpin.

BERHIBUR TIADA SALAHNYA

JIKA TAHU ATURANNYA DALAM ISLAM

ISLAM UNTUK SEMUA

ISLAM SESUAI SEPANJANG ZAMAN.

SAYANG ISLAM

YAKIN PADA ALLAH SWT

0 ulasan: