Wednesday, May 20, 2009

Kongres Pendidikan Islam GAMIS Platform Terbaik Bincang Isu Disiplin Pelajar (Berita Harian, 20 Mei)

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melihat pengenalan semula hukuman rotan terhadap pelajar melanggar masalah disiplin yang dikemukakan Timbalan Menteri Pelajaran, Mohd Puad Zarkashi, baru-baru ini adalah saranan yang baik. Bagi saya, dalam keadaan sekarang, pendekatan mencegah dan mendidik adalah lebih baik. Statistik kadar peningkatan jenayah remaja sangat menggerunkan. Namun, apa yang kita nampak setiap hari di akhbar, hanya sebilangan kes dilaporkan.

Masa depan negara dalam bahaya jika keadaan itu dibiarkan. Bertambahnya filem mengghairahkan remaja untuk merempit , bergaul bebas tanpa batasan dan melakukan jenayah serta bertambahnya siri program realiti bagaikan cendawan di televisyen tetapi hakikatnya lebih berbahaya dari virus H1N1.Gamis mencadangkan Kementerian Pelajaran meletakkan sasaran penyelesaian masalah moral dan disiplin pelajar sekolah dengan mendekati sistem pendidikan pelajar, bukan sekadar permasalahan terbitan yang picisan saja, manakala majoriti kes lain tidak diendahkan.Kami berpendapat sistem pendidikan Islam dan moral di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) kini sudah tidak 'bermaya' untuk menyekat keganasan kes jenayah juvana daripada merempit, merogol, meragut dan membunuh.

Gamis bersedia menyediakan pentas kongres bagi kerajaan mendengar pandangan pakar pendidikan Islam.
Gamis bersedia menghimpunkan mereka bagi membahas dan resolusi kertas cadangan formula pencegahan yang perlu dilakukan dalam sistem pendidikan Islam negara, satu-satunya alternatif paling realistik kerajaan menyelamatkan remaja dan belia hari ini.

Adalah diharapkan Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang akan diadakan nanti mampu membantu memberikan impak yang tinggi kepada kerajaan untuk membuat bedah siasat menyeluruh terhadap sistem pendidikan Islam negara.Sejarah membuktikan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan pelbagai lagi institusi terhasil daripada sebuah 'kuasa' kongres.

Kesan kongres anjuran Gamis ini pasti tidak nampak setahun dua, namun inilah penyelesaian jangka panjang terbaik menyelamatkan generasi muda dan pelajar di negara ini pada masa depan.

MUHAMAD SYAARI AB RAHMAN,
Setiausaha Agung Gamis.
Sumber - Berita Harian

0 ulasan: