Aku berdebar-debar apabila terdengar namamu,
Aku menjadi tidak tentu arah apabila melihat wajahmu,
Aku menjadi kaku apabila berhadapan denganmu,
Lidahku menjadi kelu untuk menyatakan betapa aku sayang padamu,
Aku berusaha untuk menjadi kekasih yang sempurna untukmu,
Aku sentiasa memastikan agar setiap apa yang aku lakukan mendapat kepujian darimu,
Aku menanti-nanti kau lafazkan sayang kepadaku,
Ketahuilah aku sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang terpenting buatmu.
Aku Sayangkan Dikau.


ehm........... inilah kata-kata hikmah seorang yang sedang dilamun cintun. Bak kata orang, mandi tak basah, tidur tak lena, mandi tak kenyang.

Ish, ish, ish.... melampau betul. Sampai ke tahap tu sekali apabila kita jatuh cinta dengan seseorang.
Di sini, ana suka nak kongsikan sesuatu dengan sahabat-sahabat. Apabila kita tengok keadaan orang bercinta sepeti ini ( tahap kritikal, sampai tak sedar apa-apa ). Ana terfikir, adakah kita pernah jatuh cinta kepada kedua ibu bapa kita sampai ke tahap itu. Maksud ana takdela jatuh cinta pada ibu bapa sampai mandi tak basah. Sama-sama kita fikirkan apabila manusia bercinta sesama manusia ( yang haram punya ye ana nak cakap ni ), sampai ke tahap setiap detik kita ingatkan si dia. Adakah anda begitu juga? Kalau ye, masih belum terlambat untuk terjaga dari dibuai mimpi.

Adakah kasih sayang kita kepada kedua ibu bapa kita sampai ke tahap setiap detik kita sentiasa teringatkan mereka. Kalau ingat, alhamdulillah.

Tapi ana suka nak jadikan analogy orang bercinta yang tengah hangat ni dengan perasaan kita apabila bercinta dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Persoalan pertama: Benarkah kita sedang bercinta dengan Allah SWT?
: Adakah nama Allah SWT sentiasa di bibir kita?
: Adakah kita sentiasa teringatkan Allah SWT?

Cuba kita bayangkan, sewaktu hendak solat ( waktu kita berdating dengan Allah SWT )di mana di waktu itu kita berjanji untuk berdating.
  • Adakah persiapan kita serupa sebagaimana kita hendak berjumpa kekasih kita?
  • Adakah kita berusaha untuk nampak sempurna apabila menghadap ya RAB?
  • Adakah kita berdebar-debar apabila hendak menghadap Allah SWT?
  • Adakah kita bersedia dengan mental, fizikal dan emosi?
dan banyak lagi persolan yang ana nak utarakan agar kita berfikir tetapi ana rasa lebih baik fikirkan sendiri. Ana pasti sahabat-sahabat lain lebih arif dan kritis.

Sahabat-sahabat kita harus sedar yang kita hendak menghadap seorang yang sangat sempurna dari segala aspek. Bukanlah seorang gadis yang cun-melecun. Bukanlah jejaka yang kacak dan gagah tetapi Allah SWT yang sempurna.

Apabila kita hendak melafazkan ayat-ayat cinta kepada seseorang kita akan berdebar-debar tetapi kita tidak berdebar-debar apabila melafazkan ayat-ayat cinta kepada Allah SWT. Malah kita tidak sedar yang kita sedang melafazkan cinta kita terhadapNya. Apakah kedudukan Allah SWT di hati kita?

Adakah kita benar-benar merayu dan berharap kepada Allah SWT agar cinta kita diterima dan kesalahan kita diampunkan?
Adakah pujukan kita kepada Allah SWT sama dengan pujukan kita terhadap kekasih kita yang sedang merajuk?
Adakah usaha pujukan kita itu sama?

Semua persoalan ni jawablah sendiri.

Di manakah kedudukan Allah SWT DI HATI KITA?

Teringat sahabat-sahabat Rasulullah SAW, mereka menggigil apabila mengambil wuduk. Tetapi............................ kita...

Fikir-fikirkanlah

Allah dekat di hati.
Sejak akhir-akhir ni banyak masalah sosial yang berlaku di negara kita.Remaja-remaja hampir lupa, apakah tanggungjawab mereka di bumi?Paling tidak pun ingatlah apa tanggungjawab anda semua terhadap keluarga.Janganlah terlalu ikut hawa nafsu.

Disebabkan terlalu mengharapkan pembangunan, akhlak remaja semakin runtuh. Astaghfirullah al-azim. Wahai remaja, peliharalah diri dari godaan syaitan. Ingatlah, suatu ketika dahulu, Nabi Adam a.s pernah ditewaskan oleh syaitan.

Di sini, ana lebih berminat nak perkatakan tentang masalah zina. Masalah ini sudah menjadi sesuatu yang normal bagi sesetengah golongan. Ana ingin tekankan di sini, konteks zina sangat meluas.





Allah berfirman dalam surah Al-Israk ayat 32 bermaksud:

" Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang sesat"

Sememangnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan kotor sehinggakan Allah memerintahkan mereka yang berzina mestilah dihukum dengan 100 kali sebatan, sebagaimana Allah firmankan dalam surah An-Nur ayat ke-2, yang bermaksud

" Perempuan2 dan laki2 yang berzina, hendaklah keduanya didera ( sebat ) dengan masing-masing seratus deraan (sebatan)."

Mungkin kerana hukuman yang diwajibkan oleh Allah ditentang serta sistem kawalan masyarakat dan pihak yang bertanggungjawab terlalu lembab. Ditambah lagi dengan ceteknya ilmu dan dangkalnya iman menyebabkan kes zina semakin merebak.

Amat malang lagi sekiranya mereka yang terus dengan perbuatan hina ini dan mati sebelum bertaubat kerana seksaan di akhirat lebih dahsyar dari 100 sebatan.

Ingatlah, apakah hak kita untuk mempertikaikan hukum Allah SWT. Apakah hak kita untu memperlekehkan kata-kata Allah SWT. Sedarlah, Allah SWT terlalu sayangkan hambaNya sehinggakan selangkah kau Padaku, 1000 langkahKu padamu. Allah SWT juga Maha Pengampun, sama-samalah kita muhasabah diri dan memohon keampunan agar tidak terbatal aqidah kita. Kita hanyalah hamba Allah SWT bukan pekerja Allah SWT yang boleh mempertahankan hak pekerja tetapi hamba yang menurut perintah. Sedarlah fungsi dan taraf kita di dunia ini. Jangan lupa, kita juga merupakan khalifah di muka bumi ini.


Islam itu relevan.




Jangankan lelaki biasa,
nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.

Tanpa mereka,
fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walau ada segalanya.
Apa yang tiada dalam syurga?
Namun adam tetap rindukan hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.

Untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan batang yang lurus.
Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,

Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah,
Didiklah mereka dengan panduan darinya.
Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta,
kerana nantinya mereka semakin liar.
Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan,
kerana nantinya mereka akan semakin menderita.




Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal.
Di situlah punca kekuatan dunia.
Akal senipis rambutnya,
tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hati serapuh kaca,
kuatkanlah ia dengan iman..
Perasaan selembut sutera,
hiasilah ia dengan akhlak.

Suburkanlah ia
kerana dari situlah nantinya.
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rab
Bisikkan ke telinga mereka
bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan.
Ia bukan diskriminasi Allah
sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah..

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya.
Pasti tidak akan terhibur,
dan tidak akan menghiburkan.

Tanpa iman,
ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus
Bahkan akan semakin membengkok.

Itulah hakikatnya
andai wanita tidak kenal Rabbnya.
Bila wanita menjadi derhaka
pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata
Tapi binalah kepimpinan
pimpinlah diri kepadaNya
Jinakkan diri kepada Allah
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu

Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra
Seandai dirimu tidak sehebat Saidina Ali Karamallahuwajhah
Pastinya kehangatan ramadhan menyebabkan umat Islam dengan penuh keazaman dan penuh pengharapan menggunakan bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Keazaman untuk melakukan yang terbaik bagi ramadhan tahun ini dan pengharapan agar segala amalan yang dilaksanakan di bulan mulia ini diterima oleh Allah swt. Justeru itu ramai di kalangan umat Islam menggandakan amalan pahala mereka di bulan ini dengan janji pahala akan dilipat gandakan.Ramai juga yang melakukan ibadah sunat sebagai persediaan-persediaan rohani untuk menyambut kedatangan ramadhan. Semuanya ini adalah berdasarkan keyakinan bahawa Allah swt akan sentiasa melihat dan menghitung segala amalan yang dilakukan oleh seorang hamba yang penuh pengharapan kepadaNya.






Nun di sana, saudara seakidah dengan kita sebagai seorang Islam atau atas dasar sifat kemanusiaan bagi bukan Islam, rakyat Palestin berada di dalam penindasan yang berterusan sehingga 60 tahun lamanya. Seolah-olah negara-negara Islam tidak melihat apa yang sedang berlaku di sana termasuklah negara jiran terdekatnya iaitu Mesir. Negara yang dahulunya adalah milik umat Islam tetapi dengan rakus, pihak zionis menguasainya melalui peperangan, pembunuhan dan perampasan tanah yang berterusan. Kedatangan ramadhan disambut oleh mereka sebagaimana persediaan yang dilakukan oleh umat Islam lain dengan penuh kesyukuran dan pengharapan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt agar kemenangan akhirnya akan menjadi milik umat Islam. Allah boleh sahaja memberikan kemenangan sebagaimana burung ababil melontarkan batu-batu kecil kepada tentera bergajah Abrahah dan begitu juga Allah berkuasa untuk menenggelamkan manusia yang zalim sebagaimana yang dilakukannya kepada pengikut nabi Nuh malah Allah sangat berkuasa untuk menebalikkan bumi yang dhuni oleh manusia zalim sebagaimana yang dilakukan kepada kaum nabi Luth. Semuanya itu menunjukkan kekuasaan Allah dan pada masa yang sama juga Allah boleh sahaja menghantar bala tenteranya membantu rakyat Palestin yang sedang berjuang dengan penuh kegigihan sehingga akhirnya zionis lenyap di atas muka bumi ini. Kenapa ianya tidak berlaku di bumi yang penuh dengan keberkatan ini. Mungkin pertanyaan ini akan berlegar di fikiran ramai di kalangan umat Islam. Tidakkah ini merupakan satu ujian dan dugaan untuk umat Islam berfikir siapakah di kalangan mereka yang benar-benar berada dalam naungan Islam atau yang bersekongkol dengan zionis yang zalim. Tidakkah ini juga sebagai saringan kepada umat Islam untuk mengetahui siapakah di kalangan mereka yang benar-benar bersama dengan para pejuang kebenaran atau bersama-sama dengan mereka yang berada dalam kebathilan.




Umat Islam yang menyedari hakikat kelebihan ramadhan dan tidak mahu dirinya termasuk dalam golongan yang bersekongkol dengan rejim zionis akan berusaha untuk membantu rakyat Palestin. Rakyat Palestin merupakan rakyat yang wajib dibantu tidak kira siapa kedudukan kita dan di mana kita berada. Jika masyarakat Barat berusaha membantu mereka atas dasar peri kemanusiaan, kenapakah kita sebagai umat Islam tidak rasa bertanggungjawab membantu mereka atas dasar satu akidah, ukhwah Islamiyyah dan peri kemanusiaan.. Kemuliaan ramadhan dengan ganjaran pahalanya perlu direbut apatah lagi memberi makan kepada orang yang berpuasa. Tidakkah Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa yang melakukan satu amalan kebaikan padanya, maka baginya ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardhu....” “ Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau sedikit pun”.

SELAMATKAN AL-AQSA, BEBASKAN PALESTIN




Puas sudah kucari kebahagiaan,
disisi teman-teman
kudapat hanya kelalaian,

kucari lagi,
di hati seorang kekasih,
kudapat hanya kekecewaan,

dan ku terus mencari,
dalam meniti hari penuh kekosongan,

di mana lagi harus kucari,
membawa sekeping hati,
yang sarat kerinduan,
rindu yang tiada haluan,

Aku keliru sendiri,
Apa yang kucari,
Apa yang kuperlukan,
Aku masih tidak mengerti,

Yang penting,
kekosongan hati ini minta diisi,

Sejenak kutersedar,
Aku mencari cinta teragung,
buat jiwaku yang merindukan
hakikat kebenaran.

Cahaya membelah kegelapan,
melimpah cemerlang,
mengisi kekosongan
Kusedar,
Destnasi pencarianku di sini,
Ku MencariMu Tuhan,
Mengharap keredhaan,
Menagih kebahagiaan,
dari SINAR CAHAYA IMAN.

Renungkan...
Ramai di antara kita tidak sedar bahawa mereka telah diberi taufiq oleh Allah SWT.
Ana pernah mendengar tazkirah suatu ketika dahulu. Pentazkirah itu berkata, seandainya kita tengah lalu di hadapan surau dan kita menyedarinya. Allah telah memberi sedikit taufiq kepada kita. Sama ada kita nak menggunakan peluang itu dengan sebaiknya atau tidak. Sekiranya kita terus masuk ke surau dan sembahyang berjemaah bersama-sama. Alhamdulillah, kita mendapat hidayah Allah SWT. Jika sebaliknya, teruskan berdoa agar kita tidak sia-siakan sebesar zarah taufiq yang diberikan Allah SWT kepada hambaNya.


Satu lagi contoh yang sering berlaku kepada kita, ketika hendak melakukan qiamulail. Kita sering mengabaikan kejutan-kejutan hidayah dan teruskan syahid di atas katil yang sangat empuk dan menyelimutkan diri dengan selimut yang mampu memberi sedikit haba kepada tulang belulang kita yang hampir beku.Sedarlah syauqah solehah dan sahabat-sahabat sekalian, teruskan melawan nafsu dan syaitan yang menyuruh kita tidur sedangkan Allah telah memberi peluang kepada kita untuk bangun menghadapnya.


Jom sahabat, kita temu kekasih agung.. damba redhaNya,ketenangan layari bahtera dalam kedhaifan diri. Moga kekuatan dapat dijana semula.



Kalau ada lintasan di hati kita untuk berhijrah dari jiwa yang lalai kepada jiwa yang cintakan Allah SWT. Maka bersegeralah untuk melakukannya kerana percayalah bahawa itu adalah lintasan benar dari Allah SWT. Lintasan itu merupakan hidayah yang tidak akan datang selalu. Jarang-jarang sahaja. Biasanya ianya akan disertai keyakinan yang kuat. Namun, kalau kita sering bertangguh mungkin Allah akan tarik balik hidayahnya itu. Taufiq dariNya bukan milik orang yang tidak bersedia.

Kecemerlangan akhirat melalui prestasi hidup di dunia.









Assalamualaikum, harap-harap
tak terlewat untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Mubarak.




Marilah kita sama-sama tadarus online.


























Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, akhirnya ana berkesempatan juga untuk membuat blog sendiri.
Sudah lama sebenarnya niat ana nak buat blog ni, akhirnya Allah SWT memberi kekuatan kepada ana untuk menghasilkan satu blog.

Harapan ana agar blog yang ana buat ni dapat memberi manfaat kepada pembaca-pembaca blog ni.Ana juga berharap agar ana mampu untuk mengaktifkan blog ni dengan sebaiknya. Semoga Allah memberi panduan, idea dan pertolongan kepada ana bagi memastikan blog ini dapat digunakan seefektifnya. InsyaAllah.


Islam is Universal.