Ingin rasa dihormati.
Ingin rasa dihargai.

Memang itu adalah fitrah manusia. Keinginan sebegini adalah normal. Tetapi yang menjadi abnormal apabila keinginan disertakan dengan perasaan riak sehingga menyebabkan seseorang individu itu menjadi sombong dan mendustakan kebenaran.

Rasulullah S.A.W bersabda:

" Siapa yang meRENDAH HATI maka Allah akan meMULIAkannya dan siapa yang SOMBONG diri maka Allah akan mengHINAkannya."

Ada sebuah kata hikmah yang mengatakan

" Tanamlah dalam tanah terendah kerana tiap-tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam, tidak akan sempurna hasil buahnya."

Firman Allah Taala:


" Janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan sombong, sesungguhnya engkau tiada akan dapat menembusi bumi, takkan pula engkau sampai setinggi gunung."
( Ai-Israk:37)

Pohon yang mempunyai akar tunjang di dalam tanah akan sentiasa kukuh walaupun ditiup angin.
Pohon yang akarnya tidak sampai ke dalam tanah akan mudah untuk tumbang dam goyah.

Jika kita hendak peribadi yang kukuh, tanamkanlah diri kita ini di bumi kerendahan hati bukannya kerendahan diri. Diingatkan lagi sekali, bukan rendah diri tetapi RENDAH HATI.

Semakin rendah hati, semakin dimuliakan.
Semakin tinggi hati , semakin dihinakan.


Firman Allah SWT:
" Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong "
( An-Nahl:23)

Apa yang membezakan antara rendah hati dan rendah diri?

Rendah hati merupakan ciri hati yang sihat iaitu tidak sombong.
Rendah diri merupakan satu penyakit iaitu penyakit orang yang kufur nikmat. Ini kerana orang yang merendah diri lebih suka melihat kekurangan yang ada daripada nikmat yang Allah berikan. Sebagai contoh, orang yang tangannya bengkok. Dia lebih berasa malu kepada manusia kerana ketidak sempurnaannya dan merasakan dirinya sangat-sangat hina di hadapan manusia yang kelihatan sempurna pada zahirnya. Sebagai orang yang mempunyai kekurangan mereka harus sedar bahawa mereka sebenarnya mereka mendapat perlindungan daripada Allah SWT. Mereka akan mendapat banyak rahmat daripada Allah SWT sekiranya mereka sentiasa bersabar. Sekiranya dengan kekurangan yang mereka ada tetapi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai muslim, sudah pasti mereka akan menyedarkan muslim yang lain yang masih lena dan secara tidak langsung menggerakkan orang-orang yang sempurna dari zahirnya.

Bagaimana caranya menghadapi orang yang meniggi diri?


1- Jangan berburuk sangka dengan orang yang sombong
Sekiranya kita berburuk sangka dengan orang yang sombong, kita yang akan terluka.
Berkemungkinan hati kita akan timbul titik hitam.
Kita harus berfikiran positif. Sebagai contoh, apabila seseorang tidak menjawab apabila kita menegur. Mungkin sahabat tersebut sedang memikirkan sesuatu yang merungsingkan
pemikirannya.

Jika, orang tersebut jenis yang suka menangkan diri dan tidak suka mendengar nasihat,
semakin kita merendah hati semakin dahsyat ketinggian hatinya. Kita sebagai muslim harus

bertindak, kita harus memberitahu orang tersebut bahawa perbuatannya itu tidak baik
( menjelikkan ) bergantung kepada cara masing-masing asalkan tidak melanggar syariat.

Janganlah sampai apabila kita melihat orang yang sombong, kita pun menjadi sombong.

Bagaimana merendah hati?

1- Jangan melihat orang lain lebih rendah daripada kita

Sekiranya kita melihat
i ) anak-anak kecil - Kita rasakan dosa kita lebih banyak daripada dia.
ii ) orang tua - Kita rasakan bahawa ibadat yang mereka lakukan lebih banyak daripada
ibadat kita.
iii) berbuat dosa - Kita rasakan bahawa sekiranya mereka bertaubat, mereka lebih baik
dan mulia daripada kita. ( Tapi jangan lupa amar makruf nahi mungkar )
iv)miskin - Kita rasakan bahawa tanpa mereka kita tidak dapat beramal. Kesabaran
yang mereka hadapi mendapat ganjaran yang besar daripada Allah
SWT.

2- Melatih diri untuk sentiasa berterima kasih dan memohon maaf. Berterima kasihlah
kepada orang yang membantu kita walaupun orang tersebut merupakan orang gaji kita.

3- Melatih diri kita melakukan kerja yang kita merasakan bahawa pekerjaan tersebut dalam
status kelas bawahan atau rendah. Sebagai contoh, cuba menyapu sampah di tempat awam.

4- Bergaul dengan orang yang merendah hati. Apa sahaja golongan ini lakukan pasti kita akan
terpengaruh dan setiap apa yang merreka lakukan akan menusuk hati kita. InsyaAllah.



Yang JELIK adalah orang yang rendah diri di hadapan manusia

Yang MULIA adalah orang yang rendah diri di hadapan Allah SWT

" Maksiat, dosa yang menimbulkan rasa rendah diri dan menghampakan rahmat Allah SWT lebih baik daripada perbuatan taat yang membangkitkan rasa sombong, ujub dan sombong diri."

Statement ini bukanlah beerti kita meremehkan dosa.

Sekiranya kita sentiasa beribadat dan menyebabkn kita menjadi sombong. Ini bermakna amal ibadat kita ada kekurangannya.

Ini kerana, solat itu mencegah perkara kemungkaran. Sekiranya solatnya sempurna sudah pasti tiada perkara mungkar.

" Sesungguhnya solat itu dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar "

( Al- Ankabut:45)

Bagi mereka yang berbuat dosa, mungkin suatu hari nanti mereka akan tersedar dan berasa benar-benar takut. Sehinggakan taubatnya menghapuskan dosa yang mereka lakukan. Orang yang tergelincir, akan merasakan benar-benar takut dan berasa rendah diri kepada Allah SWT. Mungkin taubat golongan ini, akan mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT.

BERHENTILAH MERENDAHKAN ORANG LAIN.

Ya Allah, Ampunilah segala kesombongan kami,

Ampunilah kami sekiranya kami sentiasa riak,
Ampunilah kami sekiranya kami menggunakan nikmat yang kau kurniakan ke jalan maksiat, Ampunilah kami sekiranya kami banyak menzalimi hambaMu yang lemah,

Ampunilah kami sekiranya kami sombong kepada kedua ibu bapa kami, guru-guru dan orang-orang yang Kau muliakan,

Ya Allah,

Bimbinglah kami untuk menjadi hambaMu yang tawaddhuk, selalu berasa malu padaMu dan tidak menghina orang-orang yang Kau muliakan,

Bimbinglah kami agar setiap nikmat dan kurnia yang Kau berikan menyebabkan kami tersungkur sujud pada Mu dan bermanfaat pada hambaMu,

Angkatlah darjat kami dengan kerendahan hati,

Bahagiakanlah hati kami dengan hati yang tulus dan ikhlas,

Bahagiakan hati kami dengan perasaan pesona terhadapMu dan sentiasa rindu padaMu,

YA ALLAH, ENGKAULAH TUMPUAN, HARAPAN DAN PUJAAN KAMI.

Muliakan diri kami dengan akhlak yang mulia




1 ulasan:

Syahidah berkata...

ya betul tu..tak boleh terlalu merendah diri..boleh jadi bahaya..